Isnin, 25 April 2011

Hobi..



aku ia lah bermain gitar & bernyanyi.

Dalam dunia ini ramai orang yang punya hobi yang sama macam aku.Melalak, menyanyi, bermain muzik. Ada juga yang minat muzik, tidak boleh bermain alat muzik, tidak boleh menyanyi, tetapi apa saja yang berkaitan dgn muzik, akan jadi tarikan.Kalau ada orang main gitar dan menyanyi, dia mesti dudok, berdiri, menyangkung, untok sama menikmati keindahan mainan alat muzik dan nyanyian.Mereka yang begitu lah kebanyakkan yang suka kepada busker.Mereka kemudian akan memberi sedikit sumbangan kerana berasa puas dan terhibur.Begitu juga mereka yang sanggup berbelanja dan meluangkan masa pergi ke konsert
artis kegemaran.

Muzik memang punya impak yang sangat besar dlm hidup.Kalau kita hendak kaji asal usul bagaimana kejadian muzik ini, mestilah berpengetahuan, perlu masa yg cukop atau apa saja yang di perlukan bagi tujuan itu.

Ramai yang berkata, muzik ialah bahasa universal.Pergi lah kemana saja, pasti ada muzik.Yang beza cuma, muziknya cerminkan masyarakat di suatu tempat itu.Kalau di eropah, muzik mereka mencerminkan keadaan yang dingin, gunung salji, suasana alam di eropah sana.
Sebagai contoh, kalau mendengar irama classic eropah karya Tchaikovsky berjudul "Swan Lake", tapi kalau mendengarnya, kita berada di sebuah pondok durian di ulu kampong, mesti keadaannya tidak begitu kena dgn irama "Swan Lake".Pokok durian, pokok petai, rambutan atau kolam ikan keli dan talapia tidak seiring dan irama begitu. "Swan Lake" mengambarkan angsa2 putih berenangan di tasik biru yang tenang berlatarbelakangkan gunung tinggi bersalji dan hutan pinenya.Begitu lah gambaran muzik dan keadaan setempat.

Dengar muzik india pula, kita terbayang kuil hindu dan alam mistik mereka.Irama muzik India punya keindahan tersendiri.Malah muzik India punya banyak pengaruh ke atas alam muzik melayu.

Muzik Cina pula punya scale cinanya yang mana tidak boleh tak kenal.Banyak juga antara lagu2 asli lama Melayu yang punya ciri kecinaan, saperti lagu "Dayung Sampan", "Timang Burung" dan juga irama dondang sayang.

Muzik orang asal tanah melayu pula, walaupun iramanya cuma di hasilkan dari ketukan buluh dan iringan suara ramai memuji hutan atau roh nenek moyang.Mendengarnya, kita terus dapat merasakan suasana dan semangat belantara tanah ini.

Semua muzik bangsa2 punya keindahan scaling dan lenggok yang tersendiri bagi mengambarkan identiti suatu bangsa.

Muzik juga sebagai pemberi semangat dalam sesuatu keadaan.Umpamanya, dalam peperangan, tiupan 'bugle', bagpipe, paluan gendang di gunakan sebagai pemberi semangat juang.Apabila pertempuran reda bagi memberi ruang mengumpul tentera yg luka dan terkorban.Muzik juga di gunakan sebagai 'therapy' jiwa yang juga luka dari kesan pertempuran.Para askar yang berehat mendengar tiupan alat muzik seperti bagpipe atau seruling.
Dalam sejarah hamba abdi Amerika pula, orang2 kulit hitam asal Afrika atau negro yang kebanyakkan beragama Islam, menjadikan nyanyian sebagai satu cara mengatasi rasa pilu dan hiba mereka melalui perit kehidupan sebagai hamba abdi yang terbelenggu . Dengan nyanyian juga mereka melalui dan melakukan kerja2 berat di tengah terik matahari di ladang2 negeri Selatan.
Itu adalah sebahagian dari apa yang berlaku dalam sejarah pergolakan manusia.Muzik sentiasa punya peranan tersendiri yang berkesan.

Muzik bagi sesetengah masyarakat pula, saperti yang pernah berlaku sekitar tahun 50an ke 60an dahulu di anggap sebagai sesuatu yang tidak berguna, melalaikan, merosakkan jiwa.Anggapan begini selalunya datang dari mereka yang berharta, kenamaan dan punya didikan ugama.Golongan bangsawan atau golongan ada-ada ini akan melihat remeh dan rendah pada mereka yang bermuzik.Itu yang di gambarkan oleh seniman P.Ramlee dalam karya klasik, "Ibu Mertua Ku". Kalau di terjermahkan ke kategori blues, "Mother In-law Blues".Tapi tanggapan sedemikian semakin kurang hari ini memandangkan sudah ramai golongan ada-ada ini memberi sokongan dan galakan kepada anak2 mereka menceburi muzik.Malah ada yang sanggup berbelanja besar bagi pastikan anaknya berada di tempat yang baik dalam bidang yang dahulu di anggap lekeh.

Kehidupan jalan terus dan muzik pula tidak boleh tidak ada.Pernah di jadikan sebagai cogankata yang berbunyi, 'No Music No Life'.Muzik memang indah, tapi bagi mengatakan 'tiada hidup tanpa muzik' adalah tidak tepat.Mungkin cogankata begitu sekadar memenuhi kehendak 'komersial' pihak kapitalis bagi melariskan perniagaan mereka.Aku pernah meninggalkan muzik satu ketika dahulu.Aku jual gitar dan tidak membeli kaset2 muzik, tidak mendengar muzik. Lama juga aku berjalan tanpa muzik, kehidupan terus juga.

Minat aku pada muzik bermula di awal usia lagi.Ketika itu aku berumor sekitar 10 tahun.Seawal usia begitu aku sudah minat mendengar lagu dan muzik moden dari Barat.Aku tidak membesar di kampong.Aku berpindah ke kota sebelum memasuki sekolah lagi.Tidak membesar dalam keluarga sendiri pula.Aku di bawa pulang ke kampong bila tiba musim cuti.Di kampong aku dapati ada beberapa keping rekod kecil mungkin kepunyaan abang sulong aku.Rekod2 tersebut adalah kumpulan muzik pop 60an dari Amerika atau Britian.Dari situlah aku mula mendengar dan meminati muzik.Ketika itu, radio memperdengarkan lagu2 dari penyanyi saperti A.Ramli, Jeffri Din, Ismail Haron dan lain2 menjadi kegemaran ramai.Ada juga penyanyi Indonesia saperti Ernie Djohan, Titiek Puspa kedengaran di radio, saperti lagu "Teluk Bayu", "Kekasih ku Marah", antara yang masih aku ingat.

Ketika di alam persekolah pula, di antara sesi pembelajaran, kami di ajar menyanyi.Kebanyakkan lagu yang di ajar adalah lagu kanak2 berbahasa Inggeris.Lagu2 saperti "Baa Baa Black Sheep", "Twinkle Little Star", "Old McDonald Had a Farm", banyak lagi lagu2 yang sewaktu dengannya.Dari situ jugalah minat mendengar lagu Inggeris timbul dalam diri.Sudah di tanam di awal usia begitu.Di awal tahun 60an dahulu, sekolah2 di kota semuanya dalam aliran Inggeris.Tenaga pengajar pula ramai terdiri dari bangsa India dan Cina.Ada juga guru2 melayu tapi tidak ramai.Antara guru2 ini menjalani kursus perguruan di England dan Singapura.

Ketika di darjah 5, bila tiba hari akhir di sekolah untok musim cuti, ada guru yang menganjurkan 'class party'.Murid2 di galakkan membuat persembahan, seperti story telling, berlakon atau menyanyi.Aku ambil bahagian dalam nyanyian, tanpa iringan muzik.Aku menyanyikan lagu "Love Is Blue" nyanyian Al Martino. Lagu itu hingga kini, menjadi antara lagu lama kegemaran aku.

Tidak boleh di nafikan kebanyakkan kita memang di pengaruhi muzik moden Barat.Bagaimana pengaruh muzik itu masok ke jiwa adalah saperti yang aku jelaskan tadi.Ada juga yang menyalahkan Iblis sebagai punca.Terlalu rumit pula bila iblis di babitkan sama.Cuma bila mengaitkan bunyian berirama dgn si iblis, dia di katakan makhluk yang bersiul-siulan bila di halau oleh Al Malik keluar dari alamNya turun ke bumi.Maka itu sebabnya, orang tua dulu pantang mendengar dan melarang anak-anak bersiul.Wallahualam.

Muzik moden dalam masyarakat umum kita bermula dalam tahun 50an.Sekitar tahun 50an berlaku perang di Korea di mana ini menjadi rahmat pula pada kebanyakkan penduduk Malaya ketika itu.Perang Korea melonjakkan harga getah.Getah pula adalah hasil utama Malaya ketika itu.Maka ramai juga lah orang Malaya menjadi 'orang kaya segera' ketika itu.Apabila sudah kaya, maka rumah kediaman pun mampu mempunyai alat hiburan ketika itu, ia itu radio.Maka kedengaranlah rakaman lagu penyanyi2 zaman itu saperti Momo Latiff, R. Azmi.Zaman itu tiada gelaran 'artis' saperti hari ini tetapi apa pun motifnya sama, muzik dan hiburan.

Dunia memasuki era baru 60an pula, di mana zaman itu, keresahan penduduk dunia bermula. Amerika di hantui oleh isu perkauman bermula dengan pembunuhan ketua masyarakat negro Martin Luther King dan kemudian di ikuti pula pembunuhan presiden John F Kennedy. Amerika ketika itu di anggap kuasa yang menentukan hala tuju politik dunia.Mereka berhadapan dengan kuasa lawan sebelah timur ia itu Russia.Masyarakat dunia mula mendengar berita2 tentang keganasan dan penindasan.Dunia sebelah sini walaupun tidak terkena tempias konflik demikian secara terus tetap ada kesannya juga.Konflik Amerika terus parah bila perang Vietnam mula di rancang secara halus oleh tangan2 ghaib kuasa dunia.Anak2 muda Amerika bangun membantah melalui pergerakan 'peace not war' juga di kenali sebagai 'pergerakan hippies'.Anak2 muda Amerika lemas dengan cara mereka di layan oleh golongan pemerintah.Oleh kerana instituisi agama mereka juga lemah maka mereka hilang arah hidup.Dadah jenis baru saperti LSD di cipta.Dadah jenis lama di pertingkatkan daya efeksnya kepada orang yang mengambilnya.
Budaya hippies berasaskan muzik, dadah pula menjadi stimulannya.Acara kemuncak budaya hippies ini ia lah bila ada pihak yang di bekalkan segala kemudahan dan kewangan mengadakan konsert muzik besar2an di satu kawasan ladang di negeri New York.Itu lah konsert Woodstock.
Hari bersama kedamaian dan muzik.

Penyanyi2 yang banyak berkampung di pekan Greenwich, New York muncul sebagai penyanyi2 folk yang bertemakan anti perang saperti Bob Dylan, Joan Baez, Joni Mitchell, Crosby Still Nash & Young, Country Joe Fish, Richie Havens.Mereka lah ikon muzik tema keaman & kedamain manusia sejagat.Cuma yang memburukkan matlamat mereka ialah kesan dadah.Tetapi matlamat mereka betul, muzik untok kedamaian.Sehingga kini ramai di antara mereka masih berkarya dengan tema yang sama.Lagu "Blowing In The Wind" oleh Bob Dylan, sehingga kini menjadi lagu paling banyak di nyanyikan di serata dunia.

Malaysia tidak ketinggalan dengan hippiesnya, maka ada pihak di Kuala Lumpur pula berpeluang menganjurkan apa yang di panggil 'Malaysian Woodstock : 1st & only'. Ianya berlangsung di satu tempat di Cheras sekitar awal tahun 70an.Pemuzik Santana di jemput membuat persembahan di Woodstock Malaysia itu.Selain itu ialah band2 tempatan bermain di acara yang julung kali di adakan.Setelah selesai, Woodstock Malaysia banyak mendapat kecaman dari pemimpin masyarakat.Rumah sudah siap, maka pahat pun berbunyi.Lagi pun 'hippies' Malaysia hanya sekadar musik sahaja, mereka tiada matlamat untok memperjuangkan apa apa pun.Maklum mereka kebanyakkannya dari keluarga orang ada ada.Apa mereka tahu tentang susah perit kehidupan.

Sebenarnya, muzik tiada mengena dengan pengambilan dadah.Saperti juga muzik, dadah sudah menjadi teman kehidupan sejak sekian lama.Dadah hanya lah satu alternatif kepada individu yang bermasalah melepaskan diri dari apa yang menghantui hidup mereka.Selain itu, ianya ada lah kerena kesilapan dalam menentukan hala tuju hidup.Ini di buktikan apabila bukan semua penagih dadah suka atau memahami, apatah lagi boleh bermain muzik.

Di tahun 70an, dunia reda sedikit dari konflik perang.Walaupun di sana sini berlaku pula saperti perang Iran-Iraq.Amerika mengaku tidak berdaya di Vietnam.Maka perang Vietnam berakhir sekitar tahun 1976.Tetapi, luka yang di alami oleh Amerika amat dalam.Apa kena mengena konflik ini dengan muzik? Saperti yang di jelaskan di awal tadi, muzik ada lah satu bentuk 'therapy' pada mereka yang luka samada luaran atau dalaman.Banyak lagu2 yang menceritakan tentang derita dan pahit melalui kehidupan selepasnya.Mungkin ini tiada dalam lagu2 moden melayu tetapi boleh di dengar dalam karya2 lagu moden barat saperti, "Vietnam Blues", "I Can See Clearly Now", "Vietnam", "Better Run Through The Jungle", "As Tear Go By" dan banyak lagi.Lagu2 anti perang tidak lah begitu banyak sebenarnya.Oleh kerana perang yang berlaku sangat memeritkan jadi lagu demikian menjadi ikutan dan minat ramai, apatah lagi oleh kerana irama dan nyanyiannya sedap di dengar dan senikata yang sangat bermakna.

Dalam keadaan reda itu, industri muzik dunia terus rancak bergerak.Band2 rock saperti Cream dan Led Zeppellin menjadi gergasi pula.Mereka sangat di gemari di Amerika dan Britain khususnya.Di Asia termasuk Malaysia dan Singapura pula Deep Purple adalah yang sangat di minati.Begitu juga kumpulan pop yang jinak seperti Bee Gees menjadi kegemaran peminat muzik tempatan.Begitu juga dengan The Beatles.Mereka berubah konsep yeah yeah dengan album "Let It Be" dan "Rubber Soul".The Beatles terus mendapat tempat di kalangan peminat muzik barat tempatan.Berlainan pula dengan kumpulan The Rolling Stones.Mereka tidak hairan akan tiada sambutan di sebelah sini kerana mereka di kira sangat besar di Amerka dan Eropah.Di Malaysia dan Singapura lahir kumpulan muzik tersendiri yang setanding peringkat dunia saperti The Strollers, Western Union Band.Band2 ini tidak begitu mengikut aliran muzik tempatan, mereka banyak di pengaruhi oleh muzik barat.Maka itu sebabnya, produksi rakaman mereka setanding dengan band2 dari barat.Pun begitu The Strollers punya peminat tempatan yang ramai.Mereka boleh di kira sebagai pelupor apa yang hari ini di panggil 'singer/song writer' tempatan.

Lewat tahun 70an irama blues mula mendapat tempat di kalangan peminat muzik Malaysia.Blues ketika itu walaupun mendapat tempat peminat muzik tetapi terpaksa bersaing dengan genre muzik disco.Musik disco pun timbul di masa yang sama dan mendapat sambutan yang begitu hangat.Irama muziknya yang ketat dengan bass dan drumnya mendapat sambutan anak muda yang suka berparti.Disco ialah parti! Bila parti, ianya satu suasana yang amat luar biasa.Banyak juga band2 tempatan beralih kepada disco, antaranya, Discovery, Carefree, Heavy Machine antara yang terkenal.Blues hanya kekal di hati anak2 muda yang rugged, berseluar jean season (istilah dulu bagi jean lusuh), kasut getah Fung Keong dan t-shirt.Manakala disco pula kebanyakkan adalah apa yang di panggil Mat Smart dan kaki perempuan.Maklum perempuan memang senang terpikat dengan apa yang nampak kemas.Teringat lagi cara berpakaian peminat disco.Seluarnya ketat dari paras atas pusat kebawah, bermula dari aras lutut ke bawah pula, kaki seluarnya terus mengembang menutupi kasut yang bertapak tebal 6 inci!. Mat Disco yang katek pun akan kelihatan tinggi dan sasa dengan kasut begitu.Bajunya pula, dari jenis kain berkilat yang melekat di badan.Kelab2 yang menyediakan music disco juga begitu banyak mendapat permit bagi menampung kunjungan peminat yang ramai.Begitu lah keadaannya.
Susah juga peminat blues di buatnya ketika berhadapan dengan pukulan disco.

Begitu pun blues tetap mendapat tempat, walau tidak sehebat disco.Kemunculan blues di arena muzik tempatan, menarik minat anak2 muda menubuhkan band2 blues.Termasuk lah aku ketika itu.Belajar bermain gitar dan mengikut kawan2 merata tempat berlatih bermain dalam pondok hampir sebesar reban ayam di sekitar Batu Caves.Kedai2 muzik pula banyak ketika itu. Di tepian jalan sekitar Chow Kit dan pasar malam.Gedung perniagaan di Kuala Lumpur ketika itu tidak lah saperti yang ada hari ini, cuma beberapa sahaja saperti Campbell Kompleks dan Pertama Complex.Di sana banyak terdapat rekod2 dan keset2.Keset2 lanun band blues dari Amerika dan Britain banyak di jual ketika itu dengan harga cuma 3 ringgit.Aku lah antara pembelinya.Tidak cukop dengan itu, peminat boleh menempah album yang kemudiannya di rakam semula ke dalam keset dari kedai2 muzik ini.Kita hanya perlu membeli keset berjenama dan membayar kos rakaman.Ini sebenarnya salah dari peraturan syarikat rakaman.Tapi siapa ambil pusing .Ianya melanggar syarat jualbeli rakaman atau apa yang di panggil 'piracy'.

Ketika itu, ada lah juga beberapa band tempatan yang keluar dengan imej blues.Mereka memainkam lagu2 blues dengan cukop bagus.Antara yang aku ingat band dari Kajang bernama Tide Water dan juga Light Blues Band.Tetapi band blues tempatan yang berjaya menembusi dan menyakinkan syarikat rakaman ialah The Blues Gang.Pun begitu, Blues Gang saperti band2 terdiri dari anak muda rugged dan berambut panjang, banyak melalui ranjau dan rintangan sebelum mereka berjaya.Ini di jelaskan sendiri oleh Jim Madasamy, pemain bass dan ahli asal band tersebut melalui catitannya dalam ruang Facebook.Blues Gang yang berasal dari Johor itu berpindah ke Kuala Lumpur demi mencapai impian mereka, bermain blues ke peringkat yang baik.Setelah mendapat kepercayaan merakam album pertama dalam bahasa inggeris yang berjudul "Anytime Anyday", Blues Gang pun bergerak bermain di konsert sulong mereka di Stadium Merdeka.Konsert yang di sertai oleh 2 band lain, Heritage dari Singapura dan Ram Jam dari Hong Kong.Aku antara peminat blues yang menyaksikan konsert tersebut.Ramai juga yang datang menyaksikannya. Ketika itu, amatlah jarang peminat muzik dapat menikmati konsert musik blues yang bagus. Peluang seperti itu, boleh di kira sudah sangat baik.
Ini di ikuti dengan beberapa lagi siri konsert yang dapat aku tonton, salah satunya ialah Blues Gang Farewell Concert yang berlansung di PJ Civic Centre. Konsert bagi mengalukan permergian Blues Gang ke Australia.

Di Kuala Lumpur ketika itu banyak juga tempat2 hiburan yang menyediakan live band.Antara yang terkenal ialah sebuah pub bernama The Red Rooster.Bertempat di antara deretan kedai perniagaan di Medan Tuanku.Banyak band2 tempatan yang bermula dari situ antaranya ialah Search.Pada masa itu, minat aku kepada muzik mula beransur2 kurang.Sesekali aku pergi juga ke pub Red Rooster untok menyaksikan live band.Ada antara kawan2 aku yang dapat bermain di Red Rooster, antaranya pemain bass band The Upsetters bernama Ayi, kawan2 memanggilnya Selemo (selsema) kerana dia dulunya selalu berhingus. The Upsetters pun ramai peminat tetapi mereka tidak berjaya saperti Search. Mungkin ini kerana kesemua anggota band The Upsetters tidak punya charisma.Tidak lancar berbahasa inggeris.Mereka sekadar bagus menyanyi mengikut pelat inggeris sama saperti burung tiong.Di tambah pula dengan masalah pengunaan dadah.Banyak band muncul pada ketika itu.Yang bagus, saperti dr Sam & The Clinic.Ini kerana dr Sam punya gaya charismanya tersendiri.Dr Sam punya pengalaman menghibur di jalanan di kota London.Aku juga pernah naik ke pentas Red Rooster jamming bersama band dr Sam & The Clinics memainkan lagu "I Shall Be Release", walau pada masa itu pengalaman bermain aku adalah tersangat jauh.Pemain gitarnya Sidek antara yang terbaik ketika itu dengan gaya solo Jimmy Page.Dr Sam antara penyanyi pub yang berjaya mendapat kepercayaan merakamkan album.Lagu dr Sam "Saya Anak Malaysia" di kira antara hit dan sering kedengaran di radio sehingga kehari ini.Akhirnya dr Sam yang berbakat besar sebagai penghibur itu pun sangat letih dengan industri muzik tempatan meninggalkan terus dunia hiburan dan menyertai jemaah Tabligh yang lebih memberi ketenangan pada nya.

Zaman muram pun menyusul.Tahun 80an menyaksikan penyusupan ekonomi dunia, tidak terkecuali Malaysia.Banyak perniagaan tutup, begitu juga lah permis2 hiburan dan pub2.Bila ekonomi merudum, ramai hilang perkerjaan. Orang ramai tidak mahu keluar berbelanja dan berhibur.Orang luar yang berkerja di Malaysia pun banyak terpaksa kembali ke negara masing2.Maka ramai pemuzik2 tempatan turut hilang punca pendapatan.Yang punya masalah dadah semakin bertambah terok.Ini termasok lah pemain gitar dr Sam, Sidek.Dengan kemahiran bermain gitar Sidek tidak patah semangat, dia pun bermain di jalanan sebagai busker, pengalamannya ketika mengembara di kota London.Sesekali dr Sam turut sama bermain di jalanan dengan mengelarkan kumpulan mereka The Kutus Nest.Aku yang semakin hilang minat untok bermuzik cuma terserempak dan membaca kisah mereka di muka surat akhbar tempatan saperti The Malay Mail. Cuma akhbar bahasa Inggeris sahaja yang mahu melaporkan peristiwa perihal buskers.Janganlah di harap dari akhbar berbahasa melayu.Dari dahulu hingga sekarang, begitulah adanya.

Walaupun ekonomi dunia di kira lembab ketika itu, tetapi muzik tetap juga berkembang.Tahun 80an menyaksikan stail muzik yang cukop pelik dan berlainan pula muncul.Penyanyi dan band era itu selalunya kelihatan seolah mereka datang dari zaman mana atau mereka datang dari planet lain.Tidak banyak yang menarik perhatian dengan gaya dan muzik yang pelik begitu.Ini membuat minat aku kepada muzik menyusup pantas.Ketika itu juga aku di lamun percintaan, keinginan mahu berkahwin dan membina keluarga sendiri.Ini pastinya perlu kepada perbelanjaan dalam menghadapinya. Alam cinta aku tidak lah macam dalam sebuah filem cinta yang romantis.Ini kerana jiwa aku bukan jiwang-jiwang, blues masih tebal di dalam.Selama aku meninggalkan musik, aku mendalam sedikit sebanyak tentang keperluan rohani.Mempelajari agama sedikit sebanyak mengajar aku jadi lebih tabah.Tambahan pula, pada ketika itu penyanyi Cat Stevens pun juga menjadi saorang muslim.Aku masih membeli keset2 tapi keset ceramah agama yang banyak memenuhi pasaran ketika itu.Ketika itu juga politik Malaysia banyak melalui pergolakan hebat di antara PAS dan UMNO.Tragedi Memali, Skandal BMF.Dr Mahathir adalah perdana menteri pada masa itu.Ramai orang beranggap itu ada zaman gemilang negara dan bangsa melayu.Tidak bagi aku, itulah zaman gelap orang melayu.Dari segi politik aku memihak kepada PAS.
Pada masa sama, alam cinta aku tidak menjadi kerana tiada jodoh dan keserasian dengan perempuan bakal aku panggil isteri.Perempuan itu adalah rakan sepejabat.Keluarganya tidak begitu berkenan dgn perhubungan kami, tambah pula berlainan bangsa.Tapi jodoh aku tetap
ada..akhirnya aku mengakhiri zaman bujang aku dengan seorang gadis dari kampong aku.

Setelah aku merasa bahagia melalui kehidupan berumahtangga.Muzik pun seolah lah kembali hidup dalam jiwa aku.Muzik sememang tidak pernah mati dalam jiwa aku sebenarnya.Muzik ketika itu mungkin saperti setitik bara api yang tidak pernah padam.Pada tahun awal 90an, muzik dunia seolah saperti kembali ke era 60an dan 70an.Di akhbar2 banyak menceritakan kembalinya band2 lama saperti The Allman Brothers, Lynyrd Skynyrd yang sudah berkubur dlm paya negeri selatan pun muncul dengan nafas baru dan gaya lama mereka, ZZ Top pun keluar dengan 'Recycler'.Band2 baru 90an saperti Nirvana, Pearl Jam, Soundgarden dan lain2 banyak bermain dengan bunyi saperti band2 legend terdahulu.Tahun 90an menyaksikan CD mengambil alih keset dan rekod vinyl .Di kedai2 muzik terdapat banyak album2 lama di keluarkan semula dlm bentuk CD.

Aku kembali meminati muzik! aku kembali bermain gitar semula.Walau agak lama aku tidak memegang kord, tapi tangan aku masih boleh bermain.Jadinya, aku terus kembali bermain.

Sesudah mempunyai keluarga, tentunya memerlukan perbelanjaan yang lebeh.Jadi muzik sebenarnya bukan lagi sebagai hobi.Ianya sudah menjadi salah satu cara mendapatkan duit.
Pada mulanya, memang selalu kesempitan.Jadi dengan beraninya turun ke jalan sedikit sebanyak dapat juga membantu.Pada mulanya rasa malu memang ada, tetapi setelah itu ianya menjadi biasa.Dari situ juga lah aku mula bertemu dengan ramai kenalan dalam bidang muzik dari yang terkenal dan juga yang biasa di jalanan.Tapi aku tidak pernah membezakan persahabatan kerana blues dan jalanan banyak mengajar aku bermuhasabah diri.Mengajar aku tidak membezakan antara pentas dan tepian jalan.Muzik adalah muzik, ia tetap murni di jiwa bukan hobi semata.

Khamis, 21 April 2011

Salam Hari Bumi!

PERGH!

Lama betul aku tak memblogging.Kalau rumah, sudah tentu segala macam jembalang dah bersarang, beranak-pinak dalam rumah tinggal.

Ada jugak kawan2 yg hantar sms bertanya ngapa tak update blog, tinggal gitu saja.Aku jawab, tak ada masa.Sebenarnya bukan tak ada masa, aku ni pemalas.Kalau aku ni rajin, dah lama aku ni di antara barisan hartawan, jutawan ..atau paling kurang, jadi kaki temberang dalam Malaysia yang 1 ni.

Sebenarnya, aku sedang memblog dlm waktu kerja ni..(makan duit haram). Bukan saja saja, kerja tengah tak ada, dari aku melopong kepala kosong, elok juga aku log in.Idea dan cerita pun ada laa sesikit untok kawan2 yang suka berkongsi apa yang ada dlm kepala.

Tajuk kepala blog pun dah aku tukar dari "Streetbusker" kepada "Musik atas jalan..Jalan atas musik".Nak tukar warna latar belakang yg suram macam dinding jamban angkut ni saja..dari tadi tak dapat dapat.Aku ni bukannya pandai sangat.Tak apa..tak apa.Ye lah rumah kalau dah lama kena tinggal mahu juga di kemas tukar itu dan ini.

Aku ni bermusik kira dah lama jugak.Adalah lebeh kurang dekat 30 tahun.30 tahun? saya bang ..hampir 30 tahun.Habis kenapa tak terkenal? jadi artis ke?. Ada juga yg bertanya gitu.
Hmm..apa nak aku jawab? Gini lah, tadi aku dah kata, aku ni pemalas.

Pemalas...macam tu saja? Ye lah, dari tak jawab lansung.Haha..tidak juga.

Sebenarnya banyak persoal dalam mencari jawaban dalam hidup kita ni.Kenapa tak bgitu, kenapa tak begini. Kenapa begitu, kenapa begini.Yang mana, kita sendiri pun susah nak jawab kerana tak pasti kenapa hidup kita jadi begini dan begitu.

Dua hari lepas, aku di jemput oleh stesen radio swasta BFM 89.9. Tujuan untok di interview secara ringkas bagi mengetahui apa ada pada 'busking'.Mulanya aku sangka aku saja yang akan mengisi ruang temuramah tu, rupanya ada 2 orang lain.Rafique Rashid dan saorang pemuzik yang biasa berbusking di jalanan kota London bernama Zack Yusof.
Rafique aku kenal sangat lah, manakala Zack pula baru aku kenal di situ.Zack punya lidah yang sudah tebal englishnya, tapi dia humble dan berjenaka.Selalunya, karekter macam tu..tersangat lah lorat.

Temubual dlm bahasa inggeris.Maklum BFM 89.9 ada lah stesen siaran swasta berbahasa inggeris.Inggeris aku tidak lah baik sangat, tapi boh saja lah, asal orang faham.
Ramai individu2 dan tokoh2 dari berbagai bidang saperti perubatan, perniagaan, penulisan, sudah mereka jemput bagi berkongsi pengetahuan. Yang belum mereka jemput, towkey dadah dan towkey pelacur saja lagi. Mungkin nanti agaknya.Jadi rupanya, pemuzik jalanan pun ada tempat dlam masyarkat kita yg sedang berkembang minda ini.

Mungkin ada antara kita tidak kenal Rafique Rashid sebagai busker, tapi dia pemuzik yg berpengalaman luas.Rafique punyai pengalaman mengembara merata dunia.Jadi dia menceritakan pengalamannya busking ketika mengembara .Zack pula, menceritakan pengalaman nya busking di luar negara juga. Kedua mereka tak pernah busking di kota Kuala Lumpur, tempat mereka sendiri.Jadi pengalaman nya lain.Aznan Aziz pula, tidak pernah merantau busking di luar negara.Bagaimana pun, busking tak kira di mana, di London ke, di Madras ke, di Beijing ke, di Port Moresby ke...ianya tetap di panggil 'busking'.

Itu yang aku beritahu ketika di tanya akan apa sambut orang ramai terhadap aktiviti busking.Orang ramai beri sambutan yg bagus.Tak kira mana, London ke, Kuala Lumpur ke. Manusia ada lah manusia.Kebanyakkan kita gemar kepada bunyian dan nyanyian yang bagus. Yang jadi masalahnya selalunya ialah, pihak pentadbiran. Kerajaan. Merekalah yang menjadikan semuanya jadi bermasaalah. Itu tak boleh di sini.Ini tak boleh di situ. Apa ni? peraturan sangat.Di mana2 pun. London baik, Kuala Lumpur baik, Singapura baik. Mana2 pun.
Di antara temubual dgn kami, keudara pula tanya pendapat secara live dari majlis bandaran dari kota Melbourne tentang bagaimana pentadbir masyarakat di sana melayan para busker mereka.Memang, mereka punya peraturan yang perlu di patuhi bagi sesiapa yg mahu membuat persembahan di jalanan.Perlu permitnya begitu dan begini.

Kata aku, di Kuala Lumpur pun sebenarnya sudah ada peraturan yang sama.Cuma kita sendiri tidak pernah ikut peraturan yang kita tetapkan sendiri.Lagi pun peraturan yang di tetapkan oleh pihak majlis ini ada yang tak kena pada situasi. Di bolehkan buat persembahan tapi tempatnya tak bersuaian.Misalnya, di depan panggung Coloseum, jalan Tuanku Abdul Rahman sana.Mana ada orang kat situ..benggali jual karpet ada la.Aahh..banyak songel lah peraturan.

Pun begitu, pada pengalaman aku busking di tempat sendiri, tak lah begitu terok sangat. Tak pernah lah aku di hambat, di kejar pihak pentadbir.Tapi ianya tetap ada garis panduan tak boleh itu dan tak boleh ini.Seingat aku paling burok pengalaman aku ialah, lori DBKL sengaja memberhentikan lorinya yang macam lori sampah , betul2 depan tempat aku berdiri di antara penonton. Petugas DBKLnya tak berani datang cakap suroh aku berhenti, mungkin takut aku libas dengan gitar agaknya.

Di tanya aku lagi, apakah bahaya yg mendatang semasa busking? Bahaya? Tak pernah pula aku di timpa pokok atau batu ketika busking.Maksud macm yang aku cerita di atas tadi.Berhadapan dgn pihak pentadbir yang mungkin akan di tangkap kerana melanggar peraturan.
Memang ada antara kawan2 busker yang pernah di cekup polis ketika sedang busking, tapi bukan di sebabkan busking.Itu adalah kerana polis yang menjalankan tugas secara rambang, tidak teliti.Maklum mereka polis, slogan polis berbunyi CEPAT & BETUL. Mereka peduli apa.Tembak dulu, soal kemudian.Kawan busker aku Meor dan Syed Amran di borong bersama mereka2 yang di syaki terlibat dadah.Bawa teksi pun boleh kena tangkap, sebabnya? rogol penumpang, bukan pasal bawa teksi.

Kenapa busking? jawabnya, cari duitlah.Jadi busking ini adalah antara cara untok mendapatkan duit.Yes, itu jawab aku, terang.Mungkin ada yang malu dengan jawaban begitu, bunyi macam mengemis.Perlu apa kita berdalih itu ini.Bagi aku, tujuannya jelas untok dapatkan duit.Ini Kuala Lumpur, orang sanggup datang kesini bergadai nyawa dan harta buat macam2 untok mencari peluang.Sedang aku membesar di sini hanya mampu melihat.Aku punya bakat dan cara di mana tidak semua atau ramai yang mampu berbuat demikian.Biarkan aku, banyak atau sedikit pendapatan yang aku dapat dari busking tiada persoalan.Yang penting tidak ada satu insan pun terluka dan teranaiya dari apa yang aku buat.

Temubual dengan stesen radio itu sebenarnya hanya mampu menyingkap sedikit saja dari cerita para busker. Sebenarnya, cerita busker sangat menarik untok di ketahui.Waktu wancaranya sangat singkat.Bagaimanapun, sedikit sebanyak dapat jugalah kita sampaikan pada mereka yang mungkin tidak tahu.Mereka ingat busking ini cuma berdiri di jalan dengan gitar di tangan menyanyi dan dapat duit.

Adalah sangat baik sekiranya ada pihak yang mahu menjadikan busking ini satu jalan cerita dalam sebuah filem.Saperti filem 'Jebat Kembara Seniman Jalanan' dulu.Tapi aku tak fikir itu boleh berlaku lagi, kerana filem itu banyak kritikan pada banyak pihak.Media khusus, yang sehingga hari ini masih di belenggu oleh protokol2 jumud dan bangang.Apa saja usaha sedemikian pasti ada 'jembalang ghaib' di atas sana akan menghalang kerana mereka tidak mahu masyarakat ini terus jadi masyarakat yang celik dan pintar berfikir.

Biarlah dan mari teruskan agenda2 glamer yang ada hari ini .Harap cuaca malam ini baik, sebab aku nak turun ke jalan...busking.

Penutup entry kali ini..terima lah sebuah lagu berirama country blues berjudul..

BUSKER BLUES
Tiap hari ku bernyanyi di jalanan ini
Hanya untok mencari sedikit rezeki
Aku tidak peduli kata dan caci
Aku tidak menipu, menyamun, mencuri

Ada hasilnya lumayan
Ada hari pun kurang
Tapi itu tak menjadi
Sebagai penghalang
Asal aku mencari apa yang halal
Walau hanya menyanyi
Tepian jalan

Chorus
Ini hanya irama
Dari hati ku
Laguku bernama
Blues busker blues
Hey yang mendengar
Kau yang menghargai
Terima kaseh ku ucapkan
Kerana memahami

Tiap hari ku menyanyi
Di jalanan ini
Mungkin ada yg suka
Mungkin ada yg benci
Tapi aku tak peduli
Aku terus bernyanyi
Kerana ku pecaya
Pada diri sendiri

Chorus
Ini hanya irama
Dari rasa hati ku
Lagu ku bernama
Blues busker blues
Hey kau yang mendengar
Kau yang menghargai
Terima kaseh ku ucapkan
Sekali lagi

Lagu & lirik adalah hakmilik/rekacipta Aznan Aziz.Usaha menciplak, meniru gaya cerita dlm lagu ini adalah kerja haram.

Sekian terima kaseh...Ada peluang, aku rakam...tak ada kalu..biarkan berlapok kat situ.