PERGH!
Lama betul aku tak memblogging.Kalau rumah, sudah tentu segala macam jembalang dah bersarang, beranak-pinak dalam rumah tinggal.
Ada jugak kawan2 yg hantar sms bertanya ngapa tak update blog, tinggal gitu saja.Aku jawab, tak ada masa.Sebenarnya bukan tak ada masa, aku ni pemalas.Kalau aku ni rajin, dah lama aku ni di antara barisan hartawan, jutawan ..atau paling kurang, jadi kaki temberang dalam Malaysia yang 1 ni.
Sebenarnya, aku sedang memblog dlm waktu kerja ni..(makan duit haram). Bukan saja saja, kerja tengah tak ada, dari aku melopong kepala kosong, elok juga aku log in.Idea dan cerita pun ada laa sesikit untok kawan2 yang suka berkongsi apa yang ada dlm kepala.
Tajuk kepala blog pun dah aku tukar dari "Streetbusker" kepada "Musik atas jalan..Jalan atas musik".Nak tukar warna latar belakang yg suram macam dinding jamban angkut ni saja..dari tadi tak dapat dapat.Aku ni bukannya pandai sangat.Tak apa..tak apa.Ye lah rumah kalau dah lama kena tinggal mahu juga di kemas tukar itu dan ini.
Aku ni bermusik kira dah lama jugak.Adalah lebeh kurang dekat 30 tahun.30 tahun? saya bang ..hampir 30 tahun.Habis kenapa tak terkenal? jadi artis ke?. Ada juga yg bertanya gitu.
Hmm..apa nak aku jawab? Gini lah, tadi aku dah kata, aku ni pemalas.
Pemalas...macam tu saja? Ye lah, dari tak jawab lansung.Haha..tidak juga.
Sebenarnya banyak persoal dalam mencari jawaban dalam hidup kita ni.Kenapa tak bgitu, kenapa tak begini. Kenapa begitu, kenapa begini.Yang mana, kita sendiri pun susah nak jawab kerana tak pasti kenapa hidup kita jadi begini dan begitu.
Dua hari lepas, aku di jemput oleh stesen radio swasta BFM 89.9. Tujuan untok di interview secara ringkas bagi mengetahui apa ada pada 'busking'.Mulanya aku sangka aku saja yang akan mengisi ruang temuramah tu, rupanya ada 2 orang lain.Rafique Rashid dan saorang pemuzik yang biasa berbusking di jalanan kota London bernama Zack Yusof.
Rafique aku kenal sangat lah, manakala Zack pula baru aku kenal di situ.Zack punya lidah yang sudah tebal englishnya, tapi dia humble dan berjenaka.Selalunya, karekter macam tu..tersangat lah lorat.
Temubual dlm bahasa inggeris.Maklum BFM 89.9 ada lah stesen siaran swasta berbahasa inggeris.Inggeris aku tidak lah baik sangat, tapi boh saja lah, asal orang faham.
Ramai individu2 dan tokoh2 dari berbagai bidang saperti perubatan, perniagaan, penulisan, sudah mereka jemput bagi berkongsi pengetahuan. Yang belum mereka jemput, towkey dadah dan towkey pelacur saja lagi. Mungkin nanti agaknya.Jadi rupanya, pemuzik jalanan pun ada tempat dlam masyarkat kita yg sedang berkembang minda ini.
Mungkin ada antara kita tidak kenal Rafique Rashid sebagai busker, tapi dia pemuzik yg berpengalaman luas.Rafique punyai pengalaman mengembara merata dunia.Jadi dia menceritakan pengalamannya busking ketika mengembara .Zack pula, menceritakan pengalaman nya busking di luar negara juga. Kedua mereka tak pernah busking di kota Kuala Lumpur, tempat mereka sendiri.Jadi pengalaman nya lain.Aznan Aziz pula, tidak pernah merantau busking di luar negara.Bagaimana pun, busking tak kira di mana, di London ke, di Madras ke, di Beijing ke, di Port Moresby ke...ianya tetap di panggil 'busking'.
Itu yang aku beritahu ketika di tanya akan apa sambut orang ramai terhadap aktiviti busking.Orang ramai beri sambutan yg bagus.Tak kira mana, London ke, Kuala Lumpur ke. Manusia ada lah manusia.Kebanyakkan kita gemar kepada bunyian dan nyanyian yang bagus. Yang jadi masalahnya selalunya ialah, pihak pentadbiran. Kerajaan. Merekalah yang menjadikan semuanya jadi bermasaalah. Itu tak boleh di sini.Ini tak boleh di situ. Apa ni? peraturan sangat.Di mana2 pun. London baik, Kuala Lumpur baik, Singapura baik. Mana2 pun.
Di antara temubual dgn kami, keudara pula tanya pendapat secara live dari majlis bandaran dari kota Melbourne tentang bagaimana pentadbir masyarakat di sana melayan para busker mereka.Memang, mereka punya peraturan yang perlu di patuhi bagi sesiapa yg mahu membuat persembahan di jalanan.Perlu permitnya begitu dan begini.
Kata aku, di Kuala Lumpur pun sebenarnya sudah ada peraturan yang sama.Cuma kita sendiri tidak pernah ikut peraturan yang kita tetapkan sendiri.Lagi pun peraturan yang di tetapkan oleh pihak majlis ini ada yang tak kena pada situasi. Di bolehkan buat persembahan tapi tempatnya tak bersuaian.Misalnya, di depan panggung Coloseum, jalan Tuanku Abdul Rahman sana.Mana ada orang kat situ..benggali jual karpet ada la.Aahh..banyak songel lah peraturan.
Pun begitu, pada pengalaman aku busking di tempat sendiri, tak lah begitu terok sangat. Tak pernah lah aku di hambat, di kejar pihak pentadbir.Tapi ianya tetap ada garis panduan tak boleh itu dan tak boleh ini.Seingat aku paling burok pengalaman aku ialah, lori DBKL sengaja memberhentikan lorinya yang macam lori sampah , betul2 depan tempat aku berdiri di antara penonton. Petugas DBKLnya tak berani datang cakap suroh aku berhenti, mungkin takut aku libas dengan gitar agaknya.
Di tanya aku lagi, apakah bahaya yg mendatang semasa busking? Bahaya? Tak pernah pula aku di timpa pokok atau batu ketika busking.Maksud macm yang aku cerita di atas tadi.Berhadapan dgn pihak pentadbir yang mungkin akan di tangkap kerana melanggar peraturan.
Memang ada antara kawan2 busker yang pernah di cekup polis ketika sedang busking, tapi bukan di sebabkan busking.Itu adalah kerana polis yang menjalankan tugas secara rambang, tidak teliti.Maklum mereka polis, slogan polis berbunyi CEPAT & BETUL. Mereka peduli apa.Tembak dulu, soal kemudian.Kawan busker aku Meor dan Syed Amran di borong bersama mereka2 yang di syaki terlibat dadah.Bawa teksi pun boleh kena tangkap, sebabnya? rogol penumpang, bukan pasal bawa teksi.
Kenapa busking? jawabnya, cari duitlah.Jadi busking ini adalah antara cara untok mendapatkan duit.Yes, itu jawab aku, terang.Mungkin ada yang malu dengan jawaban begitu, bunyi macam mengemis.Perlu apa kita berdalih itu ini.Bagi aku, tujuannya jelas untok dapatkan duit.Ini Kuala Lumpur, orang sanggup datang kesini bergadai nyawa dan harta buat macam2 untok mencari peluang.Sedang aku membesar di sini hanya mampu melihat.Aku punya bakat dan cara di mana tidak semua atau ramai yang mampu berbuat demikian.Biarkan aku, banyak atau sedikit pendapatan yang aku dapat dari busking tiada persoalan.Yang penting tidak ada satu insan pun terluka dan teranaiya dari apa yang aku buat.
Temubual dengan stesen radio itu sebenarnya hanya mampu menyingkap sedikit saja dari cerita para busker. Sebenarnya, cerita busker sangat menarik untok di ketahui.Waktu wancaranya sangat singkat.Bagaimanapun, sedikit sebanyak dapat jugalah kita sampaikan pada mereka yang mungkin tidak tahu.Mereka ingat busking ini cuma berdiri di jalan dengan gitar di tangan menyanyi dan dapat duit.
Adalah sangat baik sekiranya ada pihak yang mahu menjadikan busking ini satu jalan cerita dalam sebuah filem.Saperti filem 'Jebat Kembara Seniman Jalanan' dulu.Tapi aku tak fikir itu boleh berlaku lagi, kerana filem itu banyak kritikan pada banyak pihak.Media khusus, yang sehingga hari ini masih di belenggu oleh protokol2 jumud dan bangang.Apa saja usaha sedemikian pasti ada 'jembalang ghaib' di atas sana akan menghalang kerana mereka tidak mahu masyarakat ini terus jadi masyarakat yang celik dan pintar berfikir.
Biarlah dan mari teruskan agenda2 glamer yang ada hari ini .Harap cuaca malam ini baik, sebab aku nak turun ke jalan...busking.
Penutup entry kali ini..terima lah sebuah lagu berirama country blues berjudul..
BUSKER BLUES
Tiap hari ku bernyanyi di jalanan ini
Hanya untok mencari sedikit rezeki
Aku tidak peduli kata dan caci
Aku tidak menipu, menyamun, mencuri
Ada hasilnya lumayan
Ada hari pun kurang
Tapi itu tak menjadi
Sebagai penghalang
Asal aku mencari apa yang halal
Walau hanya menyanyi
Tepian jalan
Chorus
Ini hanya irama
Dari hati ku
Laguku bernama
Blues busker blues
Hey yang mendengar
Kau yang menghargai
Terima kaseh ku ucapkan
Kerana memahami
Tiap hari ku menyanyi
Di jalanan ini
Mungkin ada yg suka
Mungkin ada yg benci
Tapi aku tak peduli
Aku terus bernyanyi
Kerana ku pecaya
Pada diri sendiri
Chorus
Ini hanya irama
Dari rasa hati ku
Lagu ku bernama
Blues busker blues
Hey kau yang mendengar
Kau yang menghargai
Terima kaseh ku ucapkan
Sekali lagi
Lagu & lirik adalah hakmilik/rekacipta Aznan Aziz.Usaha menciplak, meniru gaya cerita dlm lagu ini adalah kerja haram.
Sekian terima kaseh...Ada peluang, aku rakam...tak ada kalu..biarkan berlapok kat situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan