Rabu, 4 Ogos 2010

republic of brickfield - emansipasi

Os


ialah antara kenalan kita yg biasa di CM.Siapa di CM tak kenal Os.Nama sebenarnya Mohd Firdaus Yusof.

Baru ni melalui ruang Facebook terbaca aku yg Os berada di wad kecemasan Hospital Sg Buloh.Maka aku bertanya melalui message pada saorang kawan busker iaitu Mahadir atau ChekDEt.Aku di beritahu bahawa Os berada dlm keadaan koma sudah 3 hari.

Pada waktu rehat tengahari aku luangkan masa pergi melawat Os di hospital Sg Buloh.Pertama kali aku ke hospital tu sehinggakan aku terlajak hingga ke Paya Jaras.Maklum aku memang tak biasa ke sana.Sebaik sampai di wad tempat Os menerima rawatan cuma kelihatan bebrapa kenalan keluarga Os sahaja.Keadaan Os memang sangat menyayat hati.Seorang yg begitu ceria dan gelak ketawa kini terlantar di katil menerima rawatan kerana jangkitan paru paru.Mata Os separuh buka tapi tak sedarkan diri.Terkujur begitu kaku.Peralatan bagi monitor degup jantung dan sebagai nya berfungsi mengikut keadaan Os yg begitu.

Setelah kenalan keluarga Os beredar tinggal aku dgn kakak Os yg memperkenalkan diri sebagai Kak Izzat.Kak Izaat inilah yg selalu mengambil berat tentang apa2 yg berlaku pada adek kesayangannya Os.Teringat aku semasa Os di tangkap polis dlm satu operasi bersih dadah di CM dulu, ketika aku sedang busking seorang polis dtg pada aku kerana Os memberitahu dia perlu bercakap dgn aku.Os meminta aku menghubungi kakaknya tentang dia di berkas polis.Itu lah kakaknya Kak Izzat.Kak Izzat memang sangat sayang pada Os.Dia lah yg menguruskan segala yg perlu bagi kebaikan adeknya.Oz di masukkan ke Pengasih selama 2 tahun menjalani program di situ.Setelah Os membuktikan dirinya boleh kembali ke dalam masyarakat Os menjadi ahli Pengasih yg aktif membantu aktiviti mereka.Tak berapa lama kemudian aku dapat tahu Os sudah berada di Pulau Langkawi menguruskan satu tempat pengunjung bernama Little Lilia.Beberapa kali bila aku berpeluang bermain muzik di Langkawi pasti kami bertemu.Os kelihatan bagus di Langkawi.

Di sini aku ingin nyatakan Os bukanlah saorang superstar atau ikon hebat muzik rock.Aku cuma ingin menyatakan tentang erti PERSAHABATAN.Aku dgn Os ni bukan lah sahabat karib macm isi dgn kuku.Kami cuma berkawan biasa sahaja.Tapi jauh dlm persahabtan biasa kami,aku dpt rasakan bahawa Os adalah saorang kawan yg tahu menilai erti persahabatan.Semasa Os sering berbusking di CM, kami sering bermain bersama.Sekiranya Os mendapat job untok bermain di sesuatu tempat dia sering mengajak aku bermain sekali.Apa yg di perolehi di bagi sama rata.
Semasa Os melalui keadaan yg teruk kerana pengunaan dadah,aku pinjamkan Os gitar supaya dia boleh mengunakan untok perolehi duit dgn gitar itu.Bukan lah aku mengalakkan Os menjadi lebih teruk,tapi dari aku memberi ikan adalah lebih baik aku beri joran..keadaan sudah begitu.

Os adalah seorang yg mempunyai bakat yg bagus.Selain bermain dgn beberapa kumpulan muzik yg di kira ramai follower saperti Republik Of Brickfields,Os juga menerbitkan banyak album band underground.Os juga menerbitkan album 'Metal Tribute to Sweet Charity', pada aku antara album terbaik genre rock di Malaysia.Ramli Sarip sendiri menyumbangkan vokal untok bebrapa lagu dlm album tersebut.Pun begitu, Os tidak membangga diri,dia sentiasa simple dan humble dgn sesiapa saja.Os masih boleh bermain muzik di jalanan bersama sama buskers lain.Semua adalah kerana minatnya dgn seni muzik.Walaupun Os banyak menerbitkan album metal tempatan,dia meminati semua jenis muzik.Dari metal ke reggea ke country dan blues.
Satu lagi kebaikan Os,dia akan menyapa dahulu sebelum kita menyapa dia.Pernah satu ketika baru baru ini,Os memanggil aku dari jauh setelah dia melihat aku di kawasan Bukit Bintang,ketika itu dia bersama bandnya baru pulang dari satu persembahan di Pulau Tioman.
Os berlari meninggalkan member2 band dan kami bersalaman bertanya khabar.

Ini lah penghormatan aku kepada Mohd Firdaus Yusof atau Os.Semasa aku menaip blog ini,Os sedang berjuang di alam yg hanya Pencipta sahaja yg tahu bagaimana keadaannya.Semoga Os melalui keadaan ini dgn selamat.Semoga Penciptanya memberi peluang lagi.

Lawan untok hidup Os..hidup mesti lawan.

Khamis, 1 Julai 2010

Nama...


memang penting pada tiap sesuatu.Tak ada nama,orang tak kenal,orang tak tau saper nko atau aku.Rimau,contoh.Manusia melayu mana entah dulu bagi gelar (nama) pada hewan tu, maka sampai hari ni orang melayu sebut rimau.Rimau pula tidak bagi nama pada rimau yg lain.Manusia pula yg bagi nama hewan sebut.Bak kata tajuk lagu Bob Dylan ,"Man Gives Names To All The Animals". Album 'Slow Train Coming'.Kunjung kita ke zoo,kita akan baca nama2 yg di beri pada binatang2 tertentu disana.

Ok,kebanyakkan kita gemar pada muzik.Muzik dgn penyanyi dan kumpulan muzik memang berhubung rapat.Aku pilih tajuk 'nama' untok entry kali ni .Mari meraban tentang nama band atau kugiran,kerana ianya menarik dan mungkin lucu.Ramai kita memang suka dudok bercerita tentang band2 & penyanyi kesukaan.Semuanya ada nama yg narik.

Dalam milih nama untok band yg mempersembahkan genre musik mereka,namanya mesti sesuai.Takkan sebuah kumpulan orkes irama keroncong nak bagi nama Orkes Keroncong Batupetir.Kalau nama omputih bunyi 'Lightning Stone De Orchestra' (mesti ada 'De' tuu).Lain lah kalau datang dari tempat nama Batu Petir.Macam kalau dari Batu Pahat,jadi lah Orkes Keroncong Sinar Batu Pahat..gitu.Tapi ya la pulak ya..nama2 tempat di negara kita ni banyak lah yg mula dgn nama 'Batu'.'Batu' pulak kalau di daerah lahir aku Kuala Lipis atau kawasan yg sewaktu dgnnya..ia boleh bermakna 'buah anu'..anu apa? buah pelir lah! ha kan aku dah mencarut!.Tapi 'batu' memang satu kata nama yg punyai impak yg keras!Mari kita bicara..ah,raban.hahaha.Batu..batu.

Muzik melayu moden bermulanya sekitar pertengahan 60an.Saperti juga filem melayu, muzik melayu moden bermula di Singapura.Di Malaysia,semstinya lah Kuala Lumpur.Tapi Kolumpo tak lah sehebat saperti di Singapura.Di sana lah bermulanya apa yg hari ini kita panggil pop yeh yeh.Ini semua pula adalah dipengaruhi muzik dari England.Pengaruh muzik pop kumpulan The Beatles.Pop twist.Pop A go go..."Aa lompak a go go!".Berkot dan seluar ketat dan kasutnya tajam di depan.Peminat perempuan pula,mini skirt.Risau gila pak pak haji dan orang2 tua ketika itu."Malam pesta muda mudi.." hahaha.

Era 60an.Masa itu usia aku masih dlm usia budak..7-8 tahun. Pada usia begitu,bagi kita yg normal, biasanya kita sudah peka pada persekitaran.Boleh memahami dan mahu mengambil tahu.Begitulah juga aku.Masa tu,musik hanyalah apa yg dapat di dengar melalui radio saja.Kalau yg beruang (ada duit) saja berpeluang punyai rekod (pring hitam kecil EP bersama mejaputarnya (turn table).Majalah hiburan pun hanya lah Majalah Filem.Sebuah majalah yg memaparkan hal filem & muzik melayu.Gambar2 pelakon,penyanyi 60an menghiasi ruang kulit depan.

Gambar2 penyanyi pop zaman itu saperti M.Osman,A.Ramli,Jeffry Din,Hussein Ismail, A.Halim,J Sham,J Kamisah,Sanisah Huri, selalulah di papar dlm tiap keluaran.Kumpulan muzik pula antaranya ialah,The Siglap Five,The Hooks,The Shadows,The Rhythm Boys..macam2 der.Rata2 semuanya nama omputih tapi nyanyi bahasa melayu.Ada tak ada yg nama melayu, ingat aku ialah Impian Bateks.Penyanyinya ialah Rudi Al Haj dgn lagu berentak blues, "Mama Naik Keretaku".

Di sini lah menariknya raban kita di sini.Dari dulu lagi,sejak era pop ye yeh,para penglibat dunia muzik memang sudah berjiwa omputih.Nama band mereka wajib nama omputih.The itu the ini.Tapi nyanyinya tetap melayu.Rentak irama pun,kebanyakkan 'scale melayu'...ikut sukat melayu.'Komplikated' gak ye?.Macam di awal raban ni,muzik moden kita adalah hasil jajah minda dari England.Bermula dari The Beatles.Di situ lah mulanya.The Beatles pula bermula dari minat pada muzik Amerika zaman mereka saperti Buddy Holly & The Crickets.Orang melayu ketika itu entah tau ke tidak Buddy Holly ni.Nama Beatles pada mulanya di eja 'Beetle',sejenis serangga.Ini kerana minat anggota 'beetle' pada 'cricket' juga sejenis serangga.Buddy Holly & Para Cengkeriksss.Idola mereka.Satu hari Buddy Holly dgn anggota cengkerik semua patah sayap, junam beramai ramai masok tasik.Berakhirlah Buddy Holly yg punyai pengaruh muzik di Amerika dan England.The Beatles dari England pula naik tkhta.

Sebelum tu ada saorang lagi jaguh muzik jadi ikutan ramai orang .Elvis Presley.Tapi Elvis ni genre muzik Rock n Roll.Orang melayu ketika itu kurang minat.Lain dari bangsa asia lain.Jadi memng kita tak akan jumpa Elvis Melayu.Mungkin ada melayu yg minat Elvis & Rock n Roll tapi tak ramai.Antara yg tak ramai itu ialah Lat.Katunis terkenal kita.The Beatles lah idola orang muda melayu ketika itu.Jadi bercendawan lah band pop yeh yeh.

Balek semula pada raban kita.Band2 melayu memang dari dulu, mesti nama omputih.Zaman berubah.Masok pula tahun 70an.Usia pun meningkat sama.Era 70an,perkembangan seni muzik juga ikut berubah.Pop yeh yeh perlahan mendung.Timbul pula angkatan baru.Senario baru.Penyanyi saperti J Mizan,DJ Dave,Hail Amir,M Sani,Ahmad Jais,M Sharif,Sharifah Aini,Rafeah Buang,Zaleha Hamid,Uji Rashid antara yg jadi idola peminat muzik melayu.Masih berunsur pop tapi 'yeh yeh'nya takada.Banyak berpengaruhkan muzik ala Hindustan dan irama asli melayu.Masa itu aku kurang mengikuti dan kurang minat dgn irama begitu.Industri muzik 70an pula beroperasi di Kuala Lumpur.Pop yeh yeh Singapura mula hilang sinar.
Majalah2 baru dunia hiburan pun mula berkembang dgn format baru,antaranya ialah Utusan Radio & TV.Tapi masa emas ini tidak beri ruang pada perkembangan kumpulan muzik.Tidak banyak kumpulan atau band2 di beri perhatian.Era 70an sebenarnya perlihatkan banyak band.Band2 ini kebanyakkan cukop bagus.Pengaruh muzik band2 tempatan ketika ini banyak di pengaruhi band2 dari England dan juga Amerika.Mereka kebanyakkan memainkan muzik dari band omputih saperti Jimi Hendrix,Deep Purple,Uriah Heep,Santana,Yes,Grand Funk Railroad.Hinggakan yg lebih 'advance',ada yg memainkan lagu band yg tidak dikenal di sini saperti Tower Of Power dan Blood Sweat & Tears.Band2 tempatan era 70an kebanyakkan bergiat dlm 'circuit' mereka sendiri.Bermain di kelab2 malam.Hinggakan ada antara band2 ini bermain hingga ke luar negara saperti di Eropah terutamanya Jerman , Holland & Singapura.

Macam biasa,nama2 band ni,nama omputih.The Green Preachers,The Strollers,The Falcons.
Anggota band2 ini pula ramai di anggota oleh keturunan india kristian.Jadi mereka tak peduli tentang perkembangan musik melayu.Ada juga band2 yg muncul dgn image pop untok pasaran dunia rakaman.Mereka saperti Heavy Machine,Discovery,Black Dog Bone,Carefree.Nampak, semua nama2 band ini bernama omputih.Lihat bagaimana nama omputih ini begitu berperanan.Masok pula era 80an.Di sini perkembangan muzik melayu memasuki ruang yg agak berlainan saperti di era 60an & 70an.80an perlihatkan kita pada jiwa anak muda melayu yg mula mahu pada identiti sendiri.Setelah puas beridentitikan pengaruh luar.Masa ini timbul pula genre baru yg di panggil lagu2 puisi.Lebih kepada intelektual melayu dan seni rupa melayu.Asli tidak,kebaratan pun tidak.Intelek melayu.Muncullah kumpulan bernama Kumpulan Harmoni,Kumpulan Kembara,Kopratasa,antara yg punyai kelainan.Lagu2 mereka berlandaskan ilmu pengetahuan muzik mereka sendiri.Walaupun ciri2 muzik omputih genre folk dan blues masih kuat,tetapi irama muzik melayu & islam juga banyak terdengar karya2 mereka.Mereka punya kelainan dan kenal akan identiti mereka.Masa ini juga pengemar muzik melayu ramai juga yg tertarik mendengar penyanyi rakyat Indonesia Ebiet G Ade.Pun begitu,irama rock masih punya ramai ikutan dengan adanya band batu keras melayu yg bernama Sweet Charity.

Lewat 80an juga memperlihatkan kemuncak irama batu keras melayu.Program 'Battle of The Bands' (nama omputih tu) memperkenalkan banyak band2 anak melayu saperti Ella & The Boys,SYJ,Lefthanded,Search.Search (Cari) sebenarnya adalah band pub yg berjuang demi rock dan hidup di Kuala Lumpur.Pub Red Rooster di mana mereka bermula.Di pub ,band Cari banyak memainkan lagu2 kumpulan Led Zep,Kalajengking, Batu Golek, semua rock 70s.Apabila band2 dari program battle of the band di beri peluang buat rakaman.Search juga bernasib baik diberi kepercayaan merakam album.Begitu juga Blues Gang.Kemudian pula muncul lagi band2 batu keras melayu saperti Wings, kerana rock melayu begitu berpengaruh.Banyak lah konsert2 jelajah di seluruh semenanjung juga Sabah dan Sarawak.Banyak album2 dan lagu2 hits berkumandang di radio.Syarikat2 rakaman yg sebenarnya buat duit.Band2 batu keras cuma mahu rock!.Begitulah senario.Majalah2 hiburan yg kini bermacam nama dan format menampilkan cerita2 glamer artis2 rock ini.Macam2 hal gelagat dan cerita negatif artis menjadi bahan dan sumber duit pada penerbit2 majalah gossip ini.

Ini sampai kemuncak bila terjadi satu insiden di mana pihak kementrian mula masok campor dgn mengeluarkan arahan para artis terutama berimej rock tidak di benarkan ke udara.Semua lagu2 mereka di ban dari siaran.Maka terjadi lah satu peristiwa bodoh dlm industri muzik Malaysia,ia itu upacara 'kerat jambol'.Lebih jenaka lagi ianya di siarkan secara 'live telecast'.
Menteri Penerangan ketika itu di kenali sebagai 'Tok Mat' memotong sedikit dari rambut penyanyi band batu keras Search,Amy.Hinggakan nama band pun di pertikai.Band2 tidak di benarkan bernama omputih,sedang banyak band bernama demikian.Search,Lefthanded,Wings.
Larangan hanya tinggal larangan.Keadaan kembali saperti biasa tetapi dgn kemunculan grup2 baru pula.Band batu lembik pulak.Band2 pop melayu ini menyanyikan lagu2 yg berirama cukup sedih dan mendayu2.Nama pula agak pelik bunyinya,Scoin,Spoon,Skodeng,Kapaksombeng,Damasutra,Kamasutra dan ntah apa2 lagi.Geli nak aku nyebut.

Ia sebenarnya tidak mengubah apa2.Industri muzik yg sebenarnya berpotensi dlm pada masa sama buruk dan busuk di dalam kerana penyakit cetak rompak.Sindiket yg di dalangi oleh orang2 syarikat rakaman sendiri.Ianya juga satu konspirasi untok memundurkan orang melayu sendiri.Mereka bunuh dua burung dgn hanya satu lontaran batu.Pengiat2 muzik kebanyakkannya ialah orang melayu.Towkenya...bermata makhluk asing.
Dali lulu sampe sikalang..lu apa peluli.

Dalam keadaan demikian muncul kumpulan anak muda yg lebeh marah dan agresif.Mereka bergerak dlm kumpulan 'bawah tanah', tapi mereka bukan lah kumpulan penganas komunis.Kumpulan 'underground' ini bermain apa yg mereka panggil 'gigs' anjuran mereka sendiri.Mengutamakan apa yg di panggil DIY.Lagu sendiri,rakam sendiri di ruang kecil walaupun sebesar ruang tandas dan jual sendiri.Sendiri bikin,bukan nak kaya tapi bebas berkarya.Nak maki,nak puji apapun mereka sendiri.Dunia mereka sendiri.Pun begitu,nama tak boleh lari dari nama omputih,Carburator Dung (Taik atau Sisa Karburator),Punisher (Penyiksa),Silent Death (Kematian Senyap),Naked Buttterfly(Rama2 Telanjang) antara yg boleh di ingat.Irama mereka pun agak keras,bukan rock tapi mereka gelar Industrial,Punk,Metal Grind...ish nyilu gigi aku nak nyebut.Satu band yg muncul dari kelompok ini yg aku suka sangat namanya ialah..MARANGKERAPUKEPUNDENPARANGSKEPERRR.hahahaha.Mereka ada lah band punk dari Marang,Trengganu.

Sekarang kita sudah berada di alaf baru.Sudah 10 tahun melepasi abad 2000.Zaman terus berubah.Usia kita terus ke penghujung.Cara fikir kita juga terus berhadapan dgn berbagai cabaran.Kecanggihan terus muncul dgn cara baru yg kita tak mampu fikir dan saing.Penyanyi dan kumpulan muzik muncul dan pergi.Hiburan pun bukan lagi hiburan semata,ianya sudah menjadi senjata bagi pihak2 yg mampu memanipulasi keadaan.

"Tuan2 dan perempuan2...persembahkan band seterusnya!"

"Apa Namaaaa!"

Ahad, 6 Jun 2010

Busking ke tahap yang lebih bagus.


Dulu main musik di tepi jalan di anggap leceh.Tanggapan setaraf pengemis pun ada juga.Tapi tanggap begitu nampaknya lama kelamaan hakis.Presepsi orang kita nampaknya mula berubah.
Ini adalah kerana apa yg buskers selama ini perjuangkan.Berseni tanpa glamour.Kommited pada apa yg kita lakukan.

Ya bukan senang.Bukan semua pemusik boleh berdiri di tengah kota,di hiruk pikuk jalanan kota,bermuzik seadanya.Maruah dan harga diri terpaksa di gagah.Begitu juga jiwa dan minda.Itu peringkat pertama.Bila mana lama kelamaan sudah jadi biasa.

Kenalan aku ni, dulunya mengusaha dan menguruskan beberapa kelab muzik yg tersohor di kota sampah ini.Antaranya 'Country Jazz Inn' di jalan Kelang Lama.Kemudian kelab blues 'Duke's Tavern' Duta Vista di Damansara.Memang orang lama dan berpengalaman luas dlm bidang persembahan musik.Walaupun tidak bermain musik,tapi tahu menilai musik dan persembahan musik yg baik.Macam barisan panel bagi rancangan realiti tv tu lah.Ada yg bukan boleh menyanyi pun, tapi beri komen tentang nyanyian peserta program.Begitu lah kenalan aku ni.
Dia juga pernah memberi ruang pada aku bermain di tempat yg dia sebagai pengurus.Kerana dia percaya pada apa yg aku boleh buat walau hanya dgn gitar kosong.

Dlm masa terdekat ini kenalan aku ni, merangka satu projek menjadikan satu ruang laluan di kawasan Bkt Bintang sebagai tarikan orang ramai, para pelancong khususnya.Antara yg akan di jadikan tarikan ialah persembahan jalanan.Aku di panggil untok turut sama dlm menjayakannya.
Ini di kira sebagai satu kepercayaan pada aku sebagai seorang yg sudah biasa dgn persembahan jalanan.Ini juga adalah satu usaha yg baik mengangkat 'busking' ke satu tahap yg bagus.Aku akan berusaha dan mengambil peluang ini sebagai satu cabaran dan perubahan pada seni persembahan jalanan di kota Kuala Lumpur ini.

Aku yakin ini boleh.Memandangkan adanya bakat2 yg mahu di ketengahkan.Aku pernah di temui oleh pemuzik2 muda yg berminat cara busking.Begitu juga dgn beberapa buskers dari luar negara yg aku kenali .Ritchie Castro dan Christopher Wolf dari Amerika Syarikat.Toshi dan Bonyori Band dari Jepun.Mereka semua bermain di jalan kota ini.Baru2 ini pula aku berkenalan pulak aku dgn anak2 muda pelajar2 dari ASWARA yg bermain irama jazz di jalan P Ramlee,Amir & Kawan2.Mereka tidak segan atau malu untuk bermuzik di jalanan.Itu saja syaratnya.Bermuzik dan berani.Selain kenalan2 buskers yg sediada,mereka ini lah juga yg akan mewarnai program yg bakal di adakan nanti.

Harapnya ini akan berjaya.

Rabu, 26 Mei 2010

Ruang Untok Buskers..




23hb mei.Hari ahad.Macam ahad yg lepas2, memang aku ke jalan kasturi untok busking, biasa lah.Daripada aku membongkang tidur petang, baik aku berusaha untok sedikit wang poket buat belanja anak2 kesekolah.Cuaca pun nampak okay.




Sebaik sampai di tempat keramat tu, khemah tersergam siap dgn pentas.Waaah, ada pihak nak promo buskers ke apa ni? Nak suroh buskers main atas pentas ke apa ni? Khemahnya pulak bukan main cantek, macam khemah di majlis kawin orang ada ada.Ni apa ni? mikir garu kepala..nak busking ke..atau apa.Nak sampai ke tempat keramat ni dari flat aku pun setengah jam gak lah naik moto, tiba2 nak kensel busking..mana boleh.Aah. boh je laah.Lagi pun khemah dah tersedia..orang yg duduk bersantai tempat biasa tu pun nampak ramai..maklum ada khemah.Sedang aku set barang2 busking aku, Nik pulak sampai...
"Ni apa ni Nan..siap khemah?", heran Nik.

"Ntaah, ada program budaya agaknya semalam", respon aku.

Ye lah, ada aku terbaca dlm paper tentang program Citrawarna di Dataran Merdeka hari sabtu malam.Citrawarna.Itu lah antara program kebudayaan besar besaran anjuran kerajaan untok promosi industri pelancongan mereka.Menari dan menyanyi beramai ramai atas padang dengan budaya semua kaum di Malaysia ni.Meriah dan berwarna warni.Macam filem Bollywood pun ada gak aku rasa.Dari zaman Mahathir sampai lah ke Najib.Itu saja modalnya.Buat asal ada.Nama nak buat perubahan,memang tak ada.Tak ada idea agaknya.Aah, lantak dia orang lah.


Makanya berbusking lah aku dgn Nik petang ahad tu...di bawah khemah buat pertama kalinya.Aku rasa elok tak ada khemah dari ada khemah..sebab, khemah tu rendah, jadi keadaan nampak suram.Tapi sambutan busking hari tu bagus.Setiap habis selagu mereka beri tepukkan tanda sokongan.Tanpa buat kutipan,penonton tampil kedepan beri sumbangan.


Aku rasa penonton jalanan di Kuala Lumpur ni mula ada perubahan dan segi penerimaan mereka pada busking & seni jalanan.Aku tak payah berbangga berbusking di kota2 besar dunia,London ke,New York ke,Melbourne ke,Amsterdam ke.Ini kota aku,Kuala Lumpur.Mari kita bikin kota kita setanding dgn kota dunia.Cara aku? busking!




Isnin, 24 Mei 2010

Busking In The Limelight..


gitu la bunyi tajuk dlm kepilan 'Street' suratkabar NST.


Awal pagi Isnin.Biasa lah, bersiap ke tempat kerja.Bukan nak pegi busking.Busking kebenda awal pagi isnin..?


Introduction lagu "Sweet Home Alabama" Lynyrd Skynyrd.Ringtone talipon aku.Kawan aku, Timi.


"Nan, gambar ko sebesar besar alam .Dlm NST hari ni daa."

Kami berbual pendek, bertanya kabar.


Aku kira, lama jugak interview tu baru keluar paper.Pertemuan aku dgn pemberita NST yg interview aku tu adalah pada hari sabtu 6 march 2010.Aah.Aku bukan tau sangat perihal cara kerja media ni.Aku ingatkan interview hari...esok keluar.Rupanya ambil masa lebih kurang 3 bulan.Ye lah..simpan, begitu begini,lepas tu sensor,editorial lagi.Tu la cara kerja namanya.Apa apa lah.


Pagi tu ,on the way kerja aku pun beli lah senaskah NST, yg realitinya..aku jarang beli NST,Berita Harian.Utusan lagi lah.Tapi aku bukan lah jenis tidak atau jarang membaca.Baca kena baca beb.Aku kata beli,bukan baca.Kena faham tu.Tapi Utusan memang aku tak baca.


Laporannya aku kira okay lah.Walaupun ada sedikit tak kena pada apa yg aku bagitau.Tak lah negatif.Aku tak lah begitu megah atau sejenisnya.Tapi suka memang aku suka.Mcm pernah aku tulis pada entry yg lepas.


Mm.Aku kira buskers mula ada tempat dlm penerimaan media dan orang ramai.Ye lah, bukan senang orang tepi jalan macm aku dan kawan sejenis buskers di beri ruang dlm suratkabar perdana kita.Dlm interview itu, ada juga Meor di KL Sentral.Ali Sirap & Kawan2nya di Kelana Mall.Pemuzik Jalanan Buta di Jln Tuanku Abd Rahman.Jadi para buskers kena lah jaga penampilan dan identiti .Nasihat je, sebagai orang tua.Baik burok kita pilih.

Seniman.Artis.Seniman jalanan.Tapi ,'seniman jalanan',kita lain sikit.Personaliti seniman jalanan adalah memang sebagai orang yg di senangi.Walau kita bukan level 'artis'.Tapi kita masih di kenali ramai.

Jadinya,interview tu juga adalah juga sebagai penghormatan dan mengangkat semua para buskers.Di kenali atau tidak.Kita terus berjuang untok hidup,untok seni jalanan,untok perubahan.


Buskerz rules....Ayuh!

Isnin, 8 Mac 2010

Jadi Bahan...



...Berita.
Orang seni memang begitu.Sering jadi bahan.
Bahan berita.Bahan cerita.Bahan bualan.Bahan umpatan.Bahan api.Bahan bakar.

Lebih kurang dua minggu lepas, aku dapat panggilan dari sorang pemberita NST.Katanya berminat untuk satu temubual.Temubual aku sebagai busker yg terkenal di kota sampah ini. Ianya akan di siar dlm ruang 'Street' akhbar tersebut.

Oh..terkenal juga aku ni rupanya ye.Ingat ke si Mawi atau M.Nasir saja yg terkenal.Cuma bezanya,dorang kaya..aku tidak.

Ok lah kata aku.

Biasanya aku memang tak pernah menghampakan pemintaan.Permintaan isteri,anak2,kawan2.Mampu, aku tunaikan. Tak bagus menghampakan permintaan orang.Lagi pun, ini cuma temubual, bukan kena caj apa pun.Dengar cerita, ada orang sanggup keluar duit untuk di temuramah.Ish...ada ke?

Entri aku yg lepas2, pernah aku nyatakan, betapa bagusnya kalau kita jadi bahan berita tatapan manusia seantero dunia.Aku tak hipokrit.Memang aku suka.Siapa yg kata dia tak suka, jangan bohong.Jangan hipokrit.Tapi suka aku lain.Aku suka cerita yg benar tentang diri aku .Cerita benar tentang aku sebagai 'busker'.Bukan semua orang tau tentang 'busker' & 'busking' ni.Sejak kebelakangan ni saja lah, perkataan 'busking' ni jadi sebutan sedikit.Mungkin tanda ada penerimaan masyarakat.

Hari Sabtu 6hb lepas, aku set temu janji dgn pemberita NST.Memang hari sabtu petang biasanya aku keluar busking di Jalan Hang Kasturi sebelah Pasar Seni.Hari itu senario di jalan itu berlainan.Di penuhi gerai jualan dari hujung ke hujung.Ruang keramat busker telah di tawan oleh peniaga2.Aah! kota ini pun aku punya.Kita mesti berfikir untok ruang yg perlu.Jangan pendek akal.Aku cuma busking saja, bukan nak berkonsert.Konsert memang perlu ruang! Konsert jalan tak perlu.Cuma perlu ruang aku berdiri saja.No problem.

Saperti biasa, aku terus set barangan busking aku tanpa peduli kiri kanan,depan dan belakang.Sebaik set up, aku teruskan kerja aku.Begitu pun ruang yg ada, pengunjung tertumpu juga.Saperti biasa,sumbangan penghargaan tentu ada.Muzik memang menarik.Kita cuma teruskan dgn kerja.Busker bukan pengemis.Busker adalah seniman.Seniman di jalan.Bukan rakaman.Bukan siaran.Bukan pentasan .Tapi kalau di anjurkan busker ke pentasan atau siaran,tak jadi masaalah.Biasa juga.Tapi aku lebih senang di kenali sebagai busker.Untuk kepuasan diri dan mencari sedikit pendapatan demi untok terus dgn survival di kota ini.

Itulah antara yg aku beritahu pada pemberita dlm sesi temubual itu.

Selasa, 16 Februari 2010

Titip Rindu Untuk Ayah


ada lah sebuah lagu yang puitis dari penyanyi favorit kita semua,Ebiet G Ade.



Kerap juga aku nyanyi lagu tu bila busking.Ada masa aku rasa sebak bila menyanyikan lagu itu.

Bukan apa, bila kita hayati senikatanya, memang menyentuh kerana kita ada ayah dan kita juga adalah ayah kepada anak2 kita.Perasaan tentu tersentuh.

Cuti raya cina baru ni jatuh pada hari ahad.Menjadikan cuti hujung minggu empat hari.Lama juga tu.Pada mulanya aku bercadang untok balek ke kampong di Kuala Lipis.Tapi terpaksa aku lupakan hasrat itu.Aku di panggil untok ke Pekan.Apok aku yg berusia 83 tahun masok semula ke hospital setelah sebelum itu di rawat selama empat hari kerana masalah jantung.


Apok adalah panggilan lazim untok ayah atau bapa bagi orang daerah Pahang Barat.Kuala Lipis,Benta,Raub,Jerantut.


Bergerak lah aku menuju ke Pekan awal hari ahad itu.Isteri dan anak baru lahir tak ikut.Maklum masih dlm pantang untok berjalan jauh.Anak2 yang dewasa pun tak ikut sama.Masing2 dah dewasa..program sendiri lebih penting.Maka anak2 yg kecik saja yg suka mengikut.Bila nanti mereka dah dewasa..akan saperti saudara besar mereka juga mungkin.Punya program sendiri.Tinggal lah aku sendiri.Cats In The Cradle.

Perjalanan empat jam melalui lebuhraya pantai timur di iringi oleh irama country rock..blues yg memang tak sunyi sepanjang perjalanan.Tapi fikiran aku juga melangkau jauh mengimbau kenangan.Mengingat apok..dan bila tiba masa aku pula nanti sebagai bapa yg bakal tua dan mengharap anak2 dtg menjenguk pabila sakit dan kerinduan..kesunyian.Kalau ajal tak datang awal.


Aku tidak pernah di besarkan oleh ayah sendiri.Sejak aku berumor lima tahun, aku tinggal dan di besarkan oleh emak saudara kepada ayah aku.Aku tak pernah tahu bagaimana rasa kasih sayang saorang yg bergelar ayah.Semasa membesar dgn keluarga lain,pernah juga apok dtg sekali sekala sekiranya apok punya urusan di Kuala Lumpur.Tak pernah seingat aku, apok punya masa yg panjang bersama aku.


Apok punyai tiga perkahwinan.Emak aku ada lah isteri apok yg pertama.Punyai lima orang anak.Isteri kedua pula dari kampong daerah Lipis juga ia itu kg. Relong.Apok punya dua orang anak dgn isteri orang Relong itu.


Apok sewaktu muda sangat kemas orangnya.Dia membesar dgn keluarga inggeris pengurus ladang di seberang sungai Jelai.Ladang Selborne.Ayahnya juga berkerja dgn pengurus ladang itu.Tuan Marsh.Orang inggeris itu lah yg banyak memberi tunjuk ajar dan peluang pada apok .Di ladang Selborne itu,ayah di beri peluang berkerja yg berkaitan jentera.Apok juga menjadi pemandu kepada Tuan Marsh.Dari situ lah apok banyak menimba pengalaman dan mengikut cara inggeris.Dari gambar2 lama apok,apok lah yg paling 'stand out' dari cara stylenya.Berkot,tali lehernya dan kasut kilatnya.Memang stailo.Tak perlu ke kota Kuala Lumpur.Di ladang Selborne itu sudah tersedia segala keperluan dan kesukaan cara inggeris.Maklum di tahun 50an.Cara dan stail begitu bukan berkiblat ke Kuala Lumpur tapi Singapura.


Awal tahun 60an keluarga tuan Marsh pun pulang ke England.Apok pun tidak lagi berkerja di ladang Selborne.Apok yg punya kemahiran enjin dpt pula berkerja dlm syarikat bas Mara yg masa itu mula beroperasi di Kuala Lipis.Berkerja sebagai pemandu bas laluan Kuala Lipis-Padang Tengku memberi ruang pada bertemu ramai orang.Apok memang cukup terkenal di sekitar Lipis.Kemudian apok di naikkan menjadi pengurus perkhidmatan bas Mara di Kuala Lipis.Mungkin dari situ mempunya keupayaan punyai saorang lagi isteri.Maka berkahwin lah apok lagi satu.Ini memporak peranda rumahtangga yg pertama.Maklum, emak aku tak dapat menerima keadaan itu.Waktu sekitar ini juga lah aku di beri untok di bela oleh emak saudaranya yg tinggal di Kuala Lumpur.Di fahamkan, waktu itu aku sangat comot penuh kudis dan juga punya penyakit angin pasang.Maka di bawa lah aku tanpa mengetahui sangat tentang kehidupan kasih sayang keluarga.


Satu hari ketika aku berumor sembilan tahun, apok muncul di rumah emak saudaranya di Selayang Baru.Hari itu, apok rupa hendak berlepas ke Sabah.Apok berkerja di Sabah tapi aku tak pernah tahu berlama apok di sana.Aku tak pernah peduli.Maklum aku sudah membesar dlm suasana lain.Apa yg aku faham masa itu, apok sudah meninggalkan rumahtangganya di Kuala Lipis.Mungkin bercerai ke apa aku tak pernah faham.Hanya sekali sekala bila aku di bawa pulang ke kampong,aku lihat kehidupan emak dan adek beradek aku berbeza.Blues sekali.Tanpa apok.Tapi hidup berjalan terus.


Beberapa tahun selepas itu, dengarnya apok pulang dari Sabah.Tidak berapa lama setelah kembali dari Sabah apok bertemu jodoh lagi.Kali ini apok berkahwin dgn orang Pekan.Isteri ke tiga apok adalah anak kepada pak sheik.Itu lah isterinya yg kekal sampai kini.Apok punya tujuh orang anak dgn isteri ke tiganya itu.Apok bertugas sebagai ketua bengkel syarikat bas di Rompin pula.


Apok mengira keadaannya agak settle dgn perkahwinan nya kali ini.Maka dia mengambil peluang mengambil kesemua anak2 dari bekas isteri pertama dan keduanya.Dengarnya ini sangat melukakan hati bekas isterinya.Emak aku dan mak oda Esah.Satu hari apok muncul dgn isteri barunya, mak oda Zahrah di Selayang Baru.Tujuan apok ialah untok mengambil aku pula di jagaan emak saudaranya,wan Kesom.Tapi wan Kesom dan suaminya tok Dolah berkeras tidak melepaskkan aku.Aku pula kebingungan waktu itu.Sekiranya aku berjaya di ambil oleh apok ketika itu, tentu kehidupan aku berbeza hari ini.


Dari apa yg berlaku dlm kehidupan ini.Dapatlah aku faham, apok bukanlah seorang yg tidak bertanggungjawab membiarkan anak2 tanpa belaan.Kehidupan yang jalan ceritanya begitu.Aku tak mahu jalan ceritanya begitu.Tapi ianya berlaku mengikut kehendaknya.Susah untok di fahami.Memang sewaktu kecil aku kerap sedih bila di ajukan tentang ibu dan bapa.


Kini kesemua kami sudah dewasa dan punya keluarga sendiri.Perhubungan kami adek beradek yg berlainan ibu di kira baik.Kami dari ayah yg sama.Darah keturunan yg sama.Memang lah banyak perkara dan ingatan yg tidak diingini.Tapi itu semua sudah berlaku.Berlaku dan berlalu.Apakah boleh di ubah?


Ini selalu dlm ingatan aku.Ayah aku melalui kehidupan yg begitu.Kata orang tentu akan ada antara anak2nya akan turuti jejak langkah ayahnya.Tuhan sja yg tahu.Setakat ini belum ada antara adek beradek aku yg sudah berkahwin punya perkahwinan lain.Memang ada cerita2 harunya.Tapi itu lah onak dan ombak kehidupan yg di lalui.Ini bukan drama melayu.Ini cerita kehidupan .


Walau apok punya ramai anak2 dari tiga isterinya.Kesemua anak2 nya punya status yg biasa saja.Tidak ada yg kaya raya.Tidak pula yg papa kedana miskin melarat.Tidak ada yg boleh di banggakan oleh apok.


Memang sebagai bapa, kesemua kita mengharapkan segala kebaikan dari anak2.Tapi kalau tak kesampaian..apa yg perlu di kesalkan? Dari itu, aku sendiri tak pernah bercita cita dan berharap sangat.Kalau anak2 dapat datang menjengok dan berdamping buat seketika, itu cukup sebagai satu moment yg sangat bahagia.Percaya lah. Tapi hari ini ramai anak2 yg terlalu sibuk dgn urusan masing dan keluarga masing2.Cats In The Cradle.


Begitulah antara jutaan kisah dalam kehidupan kita.Masam dan manis.Indah dan kusam.


Seorang ayah ialah seorang yg melindungi dan bertanggungjawab ke atas keluarganya.Berkerja keras mengisi keperluan anak dan isterinya.Isteri2nya.Memberi kasih sayang pada anak2 tanpa berbelah bagi.Sebagai anak yang baik, terdidik dgn cara pemikiran yg baik, tentu tidak mampu melupakan ayah atau ibu.Ini naluri kemanusiaan.Bukan soal agama atau apa.Di mana budaya atau cara hidup sekali pun.Kasih dan sayang tak boleh di lerai begitu sahaja.


Kasih ibu membawa ke syurga...kasih ayah sepanjang hayat.


Khamis, 11 Februari 2010

ACTION!!




"Apa pasal engkau tak cakap bahlol!"


Itu antara skrip keramat dunia perfileman melayu.Pelakon Ahmad Nisfu memarahi P Ramlee dlm filem "Seniman Bujang Lapok".Boleh dikatakan rata2 kita boleh hafal.

Memang lucu babak itu.


Baru2 ni adalah aku lawat ke ruang Walk Of Life kawan kita Benludin.Aku suka ruang Ben kerana artikel2nya yg sinis.Juga banyak fokus pada daerah kampung halaman kami.Kuala Lipis.
Selain tu..musik latarnya ialah alunan gitar slide seorang lagi Ben.Ben Harper.Pemuzik blues favourite aku juga.Jadi, kami anak Lipis yg banyak mempunyai citarasa yg sama.Tempoyaak!

Membacalah aku akan satu iklan diruang Ben."Wahai orang2 kampong sekelian".Mengajak anak2 Padang Tengku berlakon atau jadi krew untok sebuah filem."Hanyut" .Itu tajuk filem tersebut.Pernah aku terbaca dlm sebuah s/kabar.Filem itu akan di arah oleh U-Wei.Siapa tak kenal U-Wei? Pengarah dari China ke? Aaah.Jangan nak merapu .


Difahamkan "Hanyut" di garap dari sebuah novel.

Aku bukan nak berderita pasal filem "Hanyut".Cuma aku nak meluahkan rasa suka aku tentang berita tersebut.Maklumlah.Padang Tengku ialah kampong lahir aku.Kampong halaman yg telah lama aku tinggalkan.Kenangan kecil aku di sana.Sungai Jelainya.Jalan batunya.Bayangkan tiba2 nanti akan di abadikan dlm sebuah filem.Ianya juga bukan saperti kebanyakkan filem2 melayu tempatan.Pengarahnya pula ia lah U-Wei Hj. Saari.Pastinya filem itu ada kelainan.Aku akan tunggu tayangan filem itu.

Beberapa tahun dulu, Kak Fauziah Nawi telah membuat shooting di kampong Gua.Kg Gua tidak jauh dari Padang Tengku.Fauziah Nawi juga saorang pengarah teater dan penerbit yg di segani dlm industri seni & filem/drama tempatan.Hampir 80 peratus set drama yang bertajuk "Rumah Kenangan" itu di ambil di rumah kepunyaan Pandok Mael.Adek kepada ibu aku.Aku pun tak tahu bagaimana production team Fauziah Nawi berminat mengunakan rumah ayah saudara aku untok shoot drama itu.Apa pun, ianya bagus sekali.Tidaklah drama dan filem melayu ni asyek dgn cerita merapu kehidupan golongan kaya dan glamour saja.

Sebelum ini ada juga terdengar desas desus atau ura2 hendak membuat sambungan filem "Seniman Jalanan II".Kalau betul2 lah...macamana agaknya filem tu ye?...

"Weii..lu jangan berangan nak jadi pelakon plak..Lu busking je"

"Yelaah..wa busking!"

CUT!

Selasa, 9 Februari 2010

Sebok..saybok..


Sibuk.

Tak kira lah mana gaya sebut atau ejanya...gitulah aku.Sibuk.Betul.Sibuk.



Ramai juga yg macam terperanjat kalau aku beritahu aku punya 10 orang anak.Selalunya kalau kenalan cina lah.Tak lah semua gitu.Ada juga yg biasa je.Yang aksi biasa tu..yang tau erti hidup.Yang macam teperanjat tu..bodoh.Tahu hanya apa yg depan mata saja.Hari ni orang melayu pun dah mula dapat penyakit bodoh tu.Penyakit tahu apa yg nampak saja.Makin berpelajaran..makin bodoh.Mampos lah.



Dah hampir 3 minggu anak aku yg ke 10 lahir.Sebenarnya isteri aku beranak 9 kali saja..campur yg baru ni.Tapi dek sebabkan yg sebelum ni lahir kembar..jadilah mengandung 9 kali tapi anak 10! Sampai aku pun jadi sasul masa di sesi jawab menjawab dgn doktor masa periksa kandungan dulu.Senyum doktor perempuan muda tu.



Anak aku ramai yg masih bersekolah.Yang dewasa pun boleh setakat lepas untok diri mereka saja.Aku pun tak pernah mengharap mereka.Tapi aku anjurkan mereka utamakan ibu mereka.Aku masih berupaya berkerja cari rezeki.



Antara ramai kenalan aku ialah saorang perempuan Jepun.Dia ni selalu datang melihat persembahan aku di beberapa tempat sekitar kota sampah ni.Dia cukup minat dgn irama blues.Jadi persembahan aku dgn Julian Mokhtar dia akan kerap datang menonton.Jadi dari situ kami berkenalan lebih rapat.Tapi tak ada lah sampai ke peringkat sentimental.Dia pun ada suami dan punya anak lelaki umor 14 tahun.Dari persahabatan kami,bertanyalah kami tentang latar belakang masing.Dia ni jenis Jepun moden.Tapi dia taklah terkejut bila aku beritahu aku punya anak 9..dan nak terima yg ke 10.Isteri sorang dan tak berkerja pula.Dia cukup kagum dan boleh faham bagaimana seseorang yg dlm keadaan macam aku ni.

"You must be a very busy person and work very hard" gitulah kata Akiko.
Aku cuma senyum.Berbual kami pada hal2 lain pula.

Pada hari2 hampir isteri aku bersalin,Akiko sangat mengambil berat.Ruang message Facebook aku penuh dgn mailing dari nya.Setelah isteri aku bersalin,Akiko datang ke tempat kerja aku.Sarat dgn beg shopping penuh pampers! Stok pampers 2 bulan di bawanya.Selain itu ada juga beberapa lagi kotak hadiah berisi coklat.Juga kad ucapan.Di serta pula dgn bebrapa helai not rm100.Begitulah pemurahnya perempuan Jepun itu.Begitu sekali dia menunjukkan penghargaannya dlm pershabatan kami.Aku pula,tak pernah berbuat apa2 pun.Sekadar menyanyikan lagu2 blues yg menjadi kegemarannya.Akiko juga tahu aku menyanyi di jalanan.Dia juga mahu datang lihat aku busking.Pada aku, datang lah kalau nak.Di negara dia pun persembahan jalanan ni biasa.Malah persembahan jalanan mereka di sana cukup bagus.Siap dgn peralatan lagi.Mereka cukup meghargai seni.Tak kira lah di jalan ke apa.

Jadi, bila kita berkemampuan,kita tak ragu untok apa pun.Buatlah apa nak buat,beli lah apa nak beli.Tapi menghargai persahabatan jarang dapat kita lakukan.Menghargai kawan2 bukanlah pula bermakna kita mesti berbelanja besar.Kalau mampu dan berkeinginan..silakan.Macam persahabatan aku dgn Akiko perempuan Jepun tu.Dia kaya dan mampu pula.Aku pula, tak kaya tapi mampu dari segi lain pula.Ini semua rezeki yg di berikan tuhan pada makhluknya.

Aku kena sibuk.Siang berkerja di pejabat..malam tertentu dan hujung minggu pula, melalak.
Tak kira di mana.Asal ada ruang dan peluang saja.

Kita semua memang kena sibuk.Kalau tak sibuk...periuk dan dapor nanti berabuk.

Ahad, 17 Januari 2010

Kencing kawasan.


Hummphh...fuh! fuh! ish beraboknya ruang blog aku nih.Hmm.


Aku bukan penulis.Idea pun kurang.Jadi begitu le.Cuma bila jari jari berkurap ni rasa gatal nak catat ..maka ada ceritanya skit.


Tajuk Kencing kawasan bukan apa...maksud bodohnya..'territorial pissing'.Macam binatang singa harimau..kucing ke..akan tandakan kawasan yg di kuasai dgn mengharumkannya dgn kencing.Kucing lain jangan nak kacau tempat dia.Itu la kawasan dia.Bau kencing dia.


Manusia pun mcm tu juga.Territorial.Tapi kawasan rumah je lah.Tempat awam mana boleh kita kata kita punya.Nak kena seligi dgn polis..buat lah.Habis, apanya tajuk kencing kawasan ni?


Bukan apa..selama 2 bulan..dekat 2 bulan aku tak ke CM.Busking.Siang Ahad tadi laratkan diri aku.Ruang keramat tu macam tu lah.Busker tak ada ..tak jadi apa pun.Bukan ada sesapa nak jerit mberontak.."Busker! busking!...kami mahu busker busking!".Orang duduk dan lalu lalang juga.Cuma kalo ada kelibat si busker tercegat dgn gitar tersandang..maka akan mula ada lebeh beberapa orang mula duduk dgn harapan dapat di hibur dgn alun gitar dan nyanyian.Musik memang menarik. Itu lah kuasa nya.Mengumpulkan orang.


Orang boleh di katakan ramai juga hari ni.Busker cuma aku saja.Tak mcm hujung minggu selalunya.Busker berebut tunggu giliran nak busking.Hingga kekadang timbul rasa kurang senang.Pernah juga satu ketika dulu, sampai ada yg 'bertendang terbang'..kes tak puas hati.


Sekarang mungkin tak lagi.Buskers sekarang dah jadi 'barangan berharga'.Tempat2 tumpuan ramai,gedung2 dah mula nampak 'value' pada buskers.Tempat2 khas mula di sediakan.Token yg agak baik di bayar.Tuan punya permis tahu, buskers memang jadi tumpuan.Satu perkembangan yg baik.Jadi buskers boleh bergiat secara aman tanpa gangguan dari mana pihak berkuasa.


Cuma nasihat aku pada kawan2 jalanan seperjuangan.Masa berubah.Hidup mcm roller coaster...hujan pasti berhenti...dan kemudian akan hujan lagi.Gunakan ruang baik yg di beri.Polish up your act.

Macam yg aku selalu tulis dlm ruang yg sudah.Busking ini profesion.Kita yg pilih mahu begini.Jadi kalau kita mahu jadikan cara kita cari rezeki di pandang baik di mata lain,kita tunjukkan yg baik.. yg terbaik.Jgn sambil lewa.Ini kerana pengalaman di ruang keramat CM itu aku perhatikan.Sikap atau kata2 yg berbunyi "...CM ni aku praktis je.." atau " ..aku busking ni ..practis saja.."..ini sikap sambil lewa .Hisap rokok...berhenti jawab telefon.Ini lah antara yg memberikan gambaran negatif pada orang yg menonton persembahan jalanan kamu.Kitalah yg bertanggung jawab pada reputasi diri sendiri.Kalau kita buat bagus...bagus lah kita.Kalau sebalik..jangan pula menuding jari pada orang lain.Syak begitu begini.


Kita juga adalah seniman.Walaupun bukan nama besar tapi seniman juga.Di kenali juga.Jadi jagalah reputasi diri.Apa ini tidak positif? Fikirkan.


Busking ini kerja.Kita di bayar.Bayangkan sendiri.Wang di perolehi di gunakan untok diri dan famili.Jadi berkerjalah dgn sebaiknya untok hasilnya.Tak kira lah dimana.


Ruang busking keramat CM di hadapan kolej itu bagi aku begitu bermakna.Di situ lah ramai anak muda mencuba nasib menjadi penyanyi.Hingga ada yg pernah ke rancangan tv.Di ingatkan, di situlah kita semua bermula dan mencuba nasib.Memang tak jadi kaya.Tapi ramai kita mampu bertahan di Kota Sampahsarap ini.Boleh menyambung kehidupan.Di situ lah mulanya.Jadi jangan lah lupa.
Ada kawan2 yg mengatakan aku sebagai busker berjaya.Macam usahawan atau petani berjaya pulak bunyinya.Hanya kerana punya koleksi gitar yg bermacam ,beberapa amp dan alatan PA.Terima kaseh kerana menganggap begitu.Tapi bagi aku biasa saja.Tak ada apa yg nak di bangga atau di jayakan.Memang aku suka punya barangan untok perlu aku berbuat perkara yg aku suka.Di rumah pun begitu.Apa yg asas, aku mesti ada.

Ada beberapa kawan yg karier muzik mereka aku kira okay sekarang.Dulunya bermula sebagai busker di jln Kasturi itu..kini pandang sepi tempat dimana mereka bermula dulu.Lupa mereka tempat jatuh dan bermainnya dulu.Tak patut begitu.Jangan lupa diri.Apa salah kalau datang sesekali busking di situ.Malu? kerana muka dah keluar tv atau mungkin..Melayu kot?.Ahh.Melayu..
Mungkin mereka tak berfikir semana aku berfikir.Busking..busking saja.Apa yg nak di nostalgiakan.Mungkin.Tak jadi apa2 makna.

Siang tadi sebelum mula tugas di tempat keramat itu..aku di sapa oleh seorang seniman...Selamat Asrin.Begitu lah dia.Cuma rambutnya begitu 'dread' sekali.Itu pilihan dia.

Tanya aku, tidak busking hari ni?..maka mendengar lah aku rungut2 si Selamat.Aku faham..dan tak ingin melanjutkan lagi rungutnya.


"Dah makan..?"


"Belanja minum aje la.." Cepat pick up Selamat.


"Minum teh ais" seringai si Selamat.


"Teh ais berapa?"


"Seinggit mpat posen.." seringai Selamat mati.Selamat beredar ke tujuan dan hajatnya untok nikmat segelas teh ais . Meninggalkan aku dgn rm2.00 dlm genggamannya.


Tak boleh kaya busking kat sini.Itu lah yg di runggutkan Selamat Asrin.Apa apa aje lah.

Mungkin esok lusa kita akan nampak juga Selamat Asrin dgn gayanya di ruang jln Kasturi.

Ini Kuala Lumpur.


Aku pun mulakan tugas aku sebagai seniman jalanan lewat tengahari itu.Ramai mula singgah duduk di ruang keramat itu.Ada beberapa orang mencuri rakam gambar.Pelancong luar rambut perang antaranya, sambil beri 'thump up' dan tip sebelum beredar.


Ya.Memang tak boleh kaya.Mustahil boleh kaya.Tapi pasti...mengembirakan.Koleksi tip hari ni cukup untok belanja poket anak2 ke sekolah.


Hari ini aku telah kembali ke kawasan kencing aku.Dan aku tinggalkan keharuman aku.